Kenapa mencari kesalahan orang lain, maafkanlah dia

Hai, orang yang matanya selalu digenangi denga airmata, hentikan aliran airmata itu dan berikan ketenangan. Tenanglah kerana akhir dari perjalanan itu adalah kebaikan, hasilnya adalah kesenangan dan penutupnya adalah kemuliaan.

Ingatlah, semoga Allah membimbing engkau ke jalan yang diredhai-Nya, jangan sekali-kali engkau berpura-pura dalam agama engkau yakni Islam. Pernah engkau berdiam diri daripada menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat jahat, lagi dosa. Begitu pun, engkau berdiam diri daripada berkata benar dan berlaku adil untuk mendapatkan perhatian orang lain, atau mendapatkan cita-cita bahagian kesenangan dunia engkau.

Yang demikian, satu hari Allah akan menghinakan dengan membalas perbuatan engkau, sehingga ia dikuasai oleh orang lain pula, selepas itu engkau tiada memperoleh manfaat apa yang dicita-citakan. Adapun mengambil hati, atau bermuka manis terhadap seseorang tanpa ikhlas, berharap sesuatu kebesaran dan kurnia, maka yang demikian itu haram hukumnya, Tuhan larang dengan orang yang bermuka-muka.

Jangan mencari-cari kesalahan orang lain lantaran kekecewaan atau kegagalan yang engkau hadapi. Jauhkanlah diri engkau daripada mencari-cari keaiban dan kesalahan orang lain, kemudian engkau menyampaikan cerita-cerita kepada orang yang lain. Sedangkan engkau tidak akan menyedari bahawa engkau akan berlaku tidak adil dengan berita dan cerita yang engkau beritakan kepada orang lain, engkau akan menjadi dosa apabila menambah-nambah perkara sebenar dengan cerita keburukan supaya orang yang mendengar berita daripada engkau memberi simpati kepada engkau, dan engkau cuba memenangi orang yang mendengar cerita daripada engkau supaya mereka percaya dengan kata-kata engkau.

Tidakkah sedar, lebih banyak perkara buruk akan timbul selepas itu? Fitnah, tuduh-menuduh akan berlaku sehingga suatu hari orang tidak mempercayai kata-kata engkau.

Bersabarlah, apabila berhadapan dengan fitnah. Renungkanlah ke dalam hati, bertasbih dan beristighfar kepada Allah, mohon perlindungan daripada dosa fitnah yang maksiat. Berdiam ketika berhadapan dengan orang yang bodoh dengan kejahilan agamanya itu adalah jawaban paling baik. Dan janganlah engkau membalas dengan mencari-cari kesalahan dia pula untuk mendapatkan kebenaran, sedangkan kebenaran ada kepada orang yang sentiasa mengawal dirinya daripada perasaan amarah.

Dari Muawiyah bin Abu Sufyan r.a., ia berkata : Saya dengar Rasulullah s.a.w. bersabda : “Engkau bila mencari-cari  rahsia manusia bererti engkau merosak mereka, atau hampir merosak akan mereka”. – Hadith riwayat Abi Dawud.

lagi,

“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat”. – Quran, an-Nur : ayat 24:19

Orang yang seronok dengan mencari-cari kesalahan dan kelemahan orang lain, dan berasa seronok pula apabila menceritakannya kepada orang lain tentang keburukan, keaiban itu, maka bagi orang itu dia adalah seorang munafik yang jelas dan nyata.

Sesungguhnya jika seseorang Muslim apabila melihat keburukan saudara Muslimnya, ia berusaha menutupinya. Sambil menasihati saudara Muslimnya secara rahsia dan berhikmah, dengan sabar dan tawadduk.

Dari Abul Haitsam iaitu Katsir Al-Mishriy, Maula Uqbah bin Amir r.a. dari Nabi s.a.w. beliau berkata : Siapa melihat keaiban (sesuatu yang memalukan) lalu ditutupnya, adalah seperti orang yang menghidupkan anak yang dibunuh”.  – Hadith diriwayat oleh An-Nasa’i

dan lagi,

Dan dari Salim iaitu Ibnu Abdullah bin Umar dari bapanya r.a., bahawa Nabi s.a.w. bersabda : Muslim adalah bersaudara Muslim lainnya, tidak boleh menganiayanya, tidak boleh menyerahkannya, barang siapa yang berhajat kepada saudaranya maka Allan memenuhi hajatnya, dan barangsiapa yang melonggarkan akan sesuatu kesulitan seorang Muslim, Allah akan melonggarkan kesulitan yang dihadapinya di hari kiamat. Dan barang siapa yang menutupi (keaiban) seseorang Muslim, Allah akan menutupinya di hari kiamat”. – Hadith diriwayat Imam Tirmidzi, An-Nasa’i, riwayat Sahih Imam Muslim, Abi Dawud, dan dari Abu Hurairah).

Apa lagi kepada mereka yang pernah hidup bersama dengan ikatan perkahwinan kemudian berpisah, bercerai kerana kelemahan ilmu agamanya, iman hanya pada keturunan Islam sahaja. Penceraian adalah jalan mudah untuk membawa haluan hidup masing-masing. Walaupun Islam mengharuskan perkara talak, tetapi ia bukan untuk  dilakukan oleh pasangan suami isteri sebagai jalan terakhir untuk hidup bersama, Allah membenci kepada suami isteri yang bercerai kerana bukan atas jalan iman, tetapi hanya kerana nafsu.

Apabila lemah tentang iman, bererti orang itu tidak memahami tuntutan agamanya. Mereka hanya mempunyai agama, mereka tidak mempunyai roh agama dalam diri dan kehidupannya.  Sedangkan di dalam Islam bukan sahaja meliputi perkara ibadat berkenaan perkara Sembahyang, Berpuasa, membayar Zakat, pergi mengerjakan ibadat Haji apabila berkemampuan.

Semua perkara yang dilakukan tidak melanggar syariat dan sunnah Rasulullah saw, setiap perkara yang akan kita laukan apabila diniatkan sebagai ibadat, maka jadilah ia ibadat. Allah akan memandang kepada perbuatan orang-orang yang sentiasa sahaja melakukan pekerjaannya di dunia dengan mengingati Allah.

“Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka adalah ia daripada Allah”. – Quran Surah an-Nahl, ayat : 53

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-anak kamu daripada mengingati Allah (dengan melaksanakan perintah-Nya)”. – Quran Surah al-Munafiqun, ayat : 9

“Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan peraturan-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan”. – Quran Surah al-Baqarah, ayat : 152

“Wahai orang-orang yang beriman (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutkanlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya”. – Quran Surah al-Ahzab, ayat : 41

Harga yang mahal terpaksa dibayar oleh seorang pendendam dan pendengki ketika dia mendengki orang lain, kerana dia terpaksa membayar semua itu dengan hati, daging, darah, perasaan, kedamaian, ketenteraman dan kebahagiannya sendiri. Janganlah sebab engkau bercerai-berai menjadikan engkau seorang pendengki.

  Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Dua orang yang saling mencaci (dosanya) adalah apa yang keduanya mengatakan, iaitu atas siapa yang memulai di antara keduanya, selama tidak dilanggar (melampau batas) yang dizaliminya”. – Hadith riwayat Abi Dawud, sahih Imam Muslim dan Tirmidzi.

Bila cacian itu tidak melampaui apa yang diucapkan, ertinya tidak mengandungi pembohongan, maka yang dicaci itu bererti teraniaya, dia boleh membalas untuk mempertahankan dirinya dan tidak menjadi dosa. Yang berdosa ialah orang memulakan cacian. Tetapi memaafkan lebih utama (afdhal) berdasarkan al-Quran Surah al-Baqarah, ayat 109.

“Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya)”. Quran Surah al-A’raf : 199

Jangan biarkan hidup engkau dihantui masa lau, jangan biarkan diri engkau sentiasa dibayangi oleh sesuatu perkara yang sudah berlalu. Lepaskanlah daripada pengaruh dan bayangan masa lampau walaupun pengalaman ketika itu indah sekali. Hidup sambil mengungkit-ungkit masa lalu bermakna mensia-siakan hidup engkau sekarang. Sebagai seorang yang waras, perkara yang sudah lalu tidak perlu lagi dibuka untuk dipersoalkan, sebab perkara masa lalu itu adalah sesuatu peristiwa yang sudah terjadi, telahpun berlalu dan sudah selesai. Maka tidak mungkin peristiwa itu akan kembali semula dengan apa juga kesedihan, tidak dapat diubah dan diperbaiki dengan apa juga kedukaan, tidak dapat dihadirkan semula dengan apa juga kegelisahan dan tidak dapat dihidupkan semula dengan apa juga kebingungan, kisah itu sudah tiada.

Kerana jika engkau hanya diizinkan hidup hari ini maka engkau akan berusaha sepenuh usaha untuk taat kepada Allah. Mendirikan sembahyang dengan sempurna, menambahkan dengan sembahyang-sembahyang sunat, beriman dan berpegang teguh dengan al-Quran, meneliti dan mencatat segala yang memberikan manfaat buat engkau.

Engkau pula akan berkata, “Aku hanya mempunyai hidup yang pasti hari ini, sebab itu aku akan menanamkan dalam hatiku ini semua nilai yang baik, perkara yang di redhai Allah. Dan membuang sifat keburukan yakni mazmumah di dalam hati ini dengan sifat takbur, ujub, riyak, buruk sangka, ego, tidak pemaaf, degil, cinta dunia, tidak menjaga aurad, dan lain-lain”.

Dan lagi, engkau akan berazam bahawa pada hari ini juga, “Aku akan berbuat baik kepada semua orang dan menghulurkan tangan kepada sesiapa pun yang perlu akan bantuan, hingga aku terdaya. Aku akan menziarahi ahli keluarga, sahabat taulan, jiran tetangga yang sakit, menghantar jenazah, menunjukkan jalan yang benar bagi yang sesat, memberi makan orang kelaparan, membantu orang yang sedang dizalimi, meringankan penderitaan orang-orang yang lemah, mengasihi mereka-mereka yang menderita, mencintai para alim ulama’, menyayangi kanak-kanak, mengusap kepala anak-anak yatim dan berbakti kepada ibu bapaku.”

Berkatalah, “Hai masa lalu yang sudah berlalu dan selesai, tenggelamlah seperti mataharimu. Aku tidak akan menangisi kepergianmu dan kamu tidak akan melihat aku termenung sebentar pun untuk mengingatimu. Kamu sudah meninggalkan aku, pergilah dan jangan kembali lagi”.